29
Sep
Posted By: Shazli Shamsuddin // Category:
Event
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Alhamdulillah pada 24 dan 25 September 2009 yang lalu saya telah di amanahkan untuk merakamkan detik-detik bahagia pasangan Mohd Baihaki & Sharuny yang telah melangsungkan perkahwinan mereka di Kota Bharu, Kelantan. Mereka telah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan lebih kurang jam 9.15 malam pada 24 September 2009.
Majlis kenduri dan persandingan berlangsung pada keesokan harinya di rumah pengantin perempuan di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan. Majlis diiringi suasana ceria dengan telatah ahli keluarga pengantin. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pengantin dan keluarga mereka yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang majlis.
Berikut adalah beberapa hasil kerja saya pada majlis berkenaan.




















Sila layari Galeri Perkahwinan Mohd Baihaki & Sharuny untuk galeri penuh.
Wassalam.
Shazli Shamsuddin
www.shazlishamsuddin.com
06
Sep
Posted By: Shazli Shamsuddin // Category:
Travel
Salam dan selamat sejahtera,
Setelah sekian lama tidak mengemaskini photojournal, pada kali ini saya ingin memaparkan sedikit bingkisan dari salah satu pusat peranginan yang popular di pantai barat Semenanjung Malaysia, Port Dikson. Sudah hampir sebulan usia gambar-gambar ini namun kekangan masa menyebabkan ianya hanya tersimpan di dalam CF. Beberapa keping gambar sempat saya rakamkan semasa menghadiri bengkel di salah satu hotel di sana tapi sayangnya cuaca tidak mengizinkan untuk saya merakam matahari terbenam pada waktu senja. Agak terkilan namun itu bukan halangan untuk membawa pulang bingkisan pulang.
Selalunya Port Dickson lebih sinonim sebagai pusat peranginan, tapi pada kali ini saya ingin memaparkan gambar-gambar yang menyebabkan tempat tersebut mendapat nama Port Dickson. Mungkin ada yang tidak tahu, Port Dickson dahulunya dikenali sebagai Tanjung di kalangan orang Melayu tempatan dan Arang atau Alang oleh orang Cina dan India kerana pada awalnya ia terkenal dengan pengeluaran arang. Disebabkan pengeluaran arang ia berkembang dengan pesat.
Melihatkan perkembangan tersebut serta potensi menjadi hub bagi jalan laut dunia Timur dan Barat, pihak British telah mewartakan kawasan tersebut sebagai pelabuhan dan dikenali sebagai Port Dickson dan dinamakan sempena Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu pada masa itu, Sir John Frederick Dickson yang juga telah merasmikan pembukaannya. Bermula dari situ, landasan keretapi juga telah diwujudkan ke Sungai Ujong yang kini dikenali sebagai Seremban. Ianya terus berkembang menjadi sebuah pusat perdagangan ekonomi dan secara tidak langsung menjadi tempat persinggahan dan peranginan para pedagang.
Sehingga kini Port Dickson telah melakar pelbagai sejarah gemilang. Gambar-gambar di bawah adalah berhampiran Jeti Penapisan Shell Port Dickson yang telah dibangunkan hasil dari pembangunan Port Dickson.







Bersamalah kita mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku sejak zaman penjajahan British dahulu. Bagaimana sebuah tempat yang pada asalnya dikenali dengan nama tempatan ditukar nama oleh penjajah dan sehingga kini kita masih menggunakan nama tersebut. Kebanyakan daripada kita terutamanya generasi muda kini terleka dengan kemajuan dan kesenangan yang kita nikmati sekarang hingga melupakan sejarah negara kita.
Perebutan kuasa dan harta jugalah yang menyebabkan Kerajaan Melaka yang hebat tersungkur di tangan penjajah, jadi janganlah kita mensia-siakan usaha generasi terdahulu yang telah memerdekakan kembali Tanah Melayu daripada penjajah. Setelah 52 tahun kita merdeka, bibit-bibit negatif yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Melaka kini kembali berputik seolah-olah kita tidak belajar dari kesilapan dulu.
Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Tidak salah mempertingkatkan diri namun bak kata pepatah : yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran kerana semasa kita bertelagah orang lain menanti untuk mendapat untung.
Wassalam.
Shazli Shamsuddin
www.shazlishamsuddin.com