Salam dan selamat sejahtera,
Setelah sekian lama photojournal ini dimuatkan dengan gambar-gambar perkahwinan, pada kali ini aku ingin membawa kalian menjelajah ke satu bahagian di Perak Hilir iaitu di Lumut, Perak Darul Redzuan. Dah bertahun aku tak ke sana. Biasanya setiap tahun aku akan transit di Lumut dalam perjalanan untuk menenangkan fikiran di Teluk Segadas atau dikenali sebagai Teluk Sekadeh di Pulau Pangkor, tapi sejak kesibukan melanda setahun dua ni telah membantutkan hasrat untuk ke sana. Berbalik kepada Pekan Lumut yang terletak di bawahan Jajahan Manjung (kalau tak silap aku), telah banyak kemudahan dan infrastruktur baru yang telah dibina.
Gambar-gambar ini telah berusia hampir 2 minggu namun kesibukan tugas-tugas hakiki menyebabkan ianya hanya tersadai dalam simpanan. Di kesempatan yang ada ini aku ingin berkongsi pandangan yang telah aku bekukan menggunakan kamera tersayang untuk tatapan umum. Gambar-gambar pada kali ini lebih berkisar tentang aktiviti utama di sini yang menjadikan air, sungai dan laut sebagai sumber utama pekan ini dan bukannya aktiviti di darat.
Bila aku tengok balik semua gambar-gambar ni. Aku terpikir, berasaskan pengangkutan air ni pelbagai aktiviti boleh dilakukan pengaruh daripada kemudahan, kemajuan teknologi, akal fikiran dan tradisi kehidupan harian. Ada yang menggunakannya untuk mencari rezeki, ada yang menggunakannya untuk melapangkan fikiran dan hobi, ada yang menggunakannya sebagai sistem pertahanan dan sebagainya. Syukur kerana kita dilahirkan sebagai manusia telah diberikan akal mewujudkan semua perkara di atas. Alhamdulillah. Jadi kita sepatutnya memanfaatkan kelebihan yang ada pada diri kita untuk kebaikan sejagat.
Melihat gambar di atas membuatkan aku terfikir, beza di antara kedua-dua subjek dalam gambar tersebut. Demi sesuap nasi dan menanggung keluarga, nelayan tersebut terpaksa bersusah payah dibawah terik mentari untuk mendapatkan rezeki berbanding pemilik kapal besar tersebut yang mungkin sedang berehat di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin sambil menunggu pendapatan setiap minit. Secara logik akal, pendapatan mereka juga sangat berbeza dan cara untuk mendapatkan pendapatan juga berbeza. Adakah dunia ini tidak adil? Atau mungkin itu yang terbaik bagi mereka? Sama juga kalau dilihat gambar terdahulu, nelayan ini menggunakan perahu kecil untuk mendapatkan rezeki tetapi pemilik kapal layar itu mungkin menghabiskan masa bercuti dan bersantai cara mewah. Atau mungkin orang yang menaiki kapal layar itu adalah pemilik kapal besar yang sedang menikmati keuntungan tahunan hasil dari aktiviti kapal berkenaan? Wallahualam. Namun mungkin itu yang terbaik buat mereka.
Tiba-tiba dari satu sudut lain, aku juga terfikir. Mungkinkah kehidupan seorang nelayan yang bersusah payah untuk mendapatkan sesuap nasi itu lebih mulia dan selesa dari pemilik kapal besar tersebut. Mungkin nelayan itu lebih bersih pendapatannya dan mempunyai ramai sahabat berbanding pemilik kapal besar yang mungkin pening memikirkan harta dan musuh perniagaannya. Mungkin juga masa bersama keluarga si nelayan itu lebih banyak dan besar nilainya dari harta pemilik kapal berkenaan yang sibuk dan tiada masa bersama keluarga. Kadang-kadang wang, harta dan pangkat hanya bermakna pada masa-masa tertentu. Cuba kita renungkan, apalah gunanya harta sebanyak pemilik kapal itu tidak dapat menyembuhkan penyakit kronik yang dihidapi dan menikmati hidup sebaik mungkin manakala nelayan itu walaupun pendapatannya kurang namun dia dapat membekalkan protien kepada kita setidak-tidaknya. Ada juga di antara kita yang sering merasakan kekurangan dan kesusahan yang menimpa diri kita merupakan satu ketidakadilan, namun jarang kita mencari kebaikan atau kelebihan disebalik kekurangan itu.
Dalam dunia materialistik mementingkan wang dan harta, harus kita ingat, ia bukanlah segalanya tapi ramai di antara kita sibuk mengejar harta kemewahan termasuklah tukang tulis ni. Kenapa jadi begini? Aku ingin memetik dan berkongsi satu persoalan yang pernah ditujukan oleh sahabat aku. Masa zaman dulu-dulu, zaman nenek moyang kita kena basuh kain di sungai, yang memakan masa berjam-jam, zaman nak masak nasi pun kena hidupkan api dengan kayu, mereka tidak pernah merungut pasal tak cukup masa tapi kita zaman sekarang yang segalanya dihujung jari dan penuh dengan kemajuan teknologi dan masak nasi pun tak payah nak kena tunggu dan tiup kayu api kita sering memberi alasan kesuntukan masa. Jadi untuk apakah kemudahan yang kita ada dapat pada hari ini? Adakah betul tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini? Bersama kita renungkan. Wallahualam.
Akhir kata, aku ingin memohon maaf kepada watak-watak yang aku jadikan contoh di atas terutamanya pemilik kapal berkenaan. Semua penulisan dan cerita individu di atas adalah sebagai contoh untuk teladan dan ingatan kepada diri aku sendiri.
Wassalam.
Shazli Shamsuddin
www.shazlishamsuddin.com