KLCC | Malaysia

Posted By: Shazli Shamsuddin  //  Category: Travel

Salam dan selamat sejahtera…

Sekadar ingin berkongsi pengalaman merakamkan mercu tanda Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas atau lebih dikenali sebagai KLCC. Alhamdulillah, saya telah berpeluang merakamkan beberapa keping gambar bangunan yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia pada suatu masa yang lalu. Saya yang amat baru dalam bidang ini merasakan ini bukanlah gambar yang bagus dari segi teknikal namun saya rasa ini adalah yang terbaik yang mampu saya lakukan buat masa ini.

Terima kasih kepada saudara Dashuki yang telah menunjukkan lokasi ini, Kapten, Dr Ali dan Dr Budi kerana memberi peluang serta berkongsi ilmu dan pengalaman dengan saya dalam menghasilkan gambar-gambar tersebut.

Untuk melihat gambar lain boleh layari Galeri KLCC.

Wassalam.

Shazli Shamsuddin
www.shazlishamsuddin.com

Ulu Dong | Pahang Darul Makmur

Posted By: Shazli Shamsuddin  //  Category: Travel

Salam buat semua…

Mencuri sedikit masa untuk update beberapa keping gambar di Ulu Dong, Raub, Pahang Darul Makmur sempena Perkemahan Foto Alam atau Nature Photocamp. Ini adalah percubaan kali pertama saya merakamkan gambar landscape hulu sungai menggunakan teknik slow shutter. Masih terlalu banyak ruang yang perlu diperbaiki. Sangat banyak. Ini adalah beberapa keping gambar yang ingin dikongsi walaupun tidak sehebat orang lain.

Untuk melihat gambar lain boleh layari Galeri Ulu Dong.

Saya rasa amat bersyukur dan bertuah meminati fotografi ini kerana dengan hobi ini banyak pengajaran yang diperolehi. Kalau dulu tidak pernah menghiraukan cuaca tetapi sejak berkecimpung dalam bidang fotografi ini, saya menjadi peka terhadap perubahan cuaca dan secara tidak langsung mengagumi kebesaran Ilahi.

Wallahualam.

Wassalam.

Shazli Shamsuddin
www.shazlishamsuddin.com

Perkemahan Foto Alam | Ulu Dong

Posted By: Shazli Shamsuddin  //  Category: Event

Salam buat semua…

Post kali ini adalah dedikasi khas kepada mereka yang telah bersusah payah mengelolakan Perkemahan Foto Alam atau yang selalunya dikenali sebagai Nature Photocamp dalam bahasa Inggeris. Perkemahan ini bertempat di Ulu Dong, Raub, Pahang Darul Makmur. Terima kasih kepada semua yang telah sanggup mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit dan usaha mereka untuk berkongsi pengalaman dengan kami yang baru menceburi bidang ini. Usaha ini mereka lakukan tanpa bayaran. Kami hanya perlu membawa peralatan sendiri dan menanggung kos perjalanan, makan dan tempat tinggal sendiri sahaja.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Ali, Shamabd, Kapten, Abg Dashuki, Red, Syidi, Wan, Uda dan semua yang terlibat dalam menjayakan perkemahan ini. Tanpa bayaran, mereka telah menyediakan perlatan untuk pengajaran termasuk notebook, LCD projektor, slideshow dan nota untuk semua peserta. Usaha murni ini amat dihargai oleh semua peserta yang menghadirinya. Semua perbelajaan tersebut mereka tanggung sendiri tanpa sumbangan peserta.

Bagi saya mereka sangat LUARBIASA. Bukan mudah untuk mereka menjayakan perkemahan ini dalam kesibukan semua pihak dengan urusan masing-masing, namun mungkin disebabkan keikhlasan mereka, Allah telah memudahkan segala urusan. Alhamdulillah cuaca juga sangat baik untuk merakamkan gambar. Habis sahaja perkemahan hujan mula membasahi daerah Raub. Hanya Allah yang mampu membalas budi kalian. Saya juga ingin memuji usaha yang diketuai Dr Ali ini kerana dijalankan dengan bersahaja dan santai. Sangat banyak input dan pengalaman yang dikongsi bersama walaupun perkemahan ini hanya selama 2 hari.

Bersama ini saya kongsikan beberapa gambar yang saya snap untuk kenangan bersama. Saya tiada gambar berkumpulan kerana terlepas sesi berkenaan akibat terleka shooting.

Selain dari ilmu fotografi banyak juga pengajaran yang saya perolehi sepanjang perkemahan ini. Antara yang tertanam dalam diri saya adalah:

1. Sehebat mana pengalaman, peralatan dan persediaan yang kita buat untuk merakamkan sesuatu detik itu tetapi tanpa izin Allah kita tidak akan berjaya merakamkan detik itu.

2. Susahnya untuk merakamkan apa yang kita lihat melalui mata kita menggunakan peralatan ciptaan manusia. Itu baru merakamkannya. Bukan hendak membuatnya lagi. Maha kuasa Allah.

3. Tiada jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu yang indah, baik, cantik dan sebagainya.

4. Sehebat mana pun kita, ada lagi yang lebih hebat dari kita.

5. Setiap dari kita ada kelemahan dan kelebihan, jadi gunakanlah akal untuk menjadikan kelemahan dan kelebihan itu sebagai senjata untuk kita lebih berjaya.

6. Buatlah sesuatu itu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, insyaallah kita akan mendapat balasan daripadaNya.

Semoga minat ini akan berterusan dan mendekatkan kita denganNya. Amin.

Wallahualam.

Wassalam.

Shazli Shamsuddin
www.shazlishamsuddin.com